Banner
PESTA LEPA-LEPA UNTUK SIAPA? PDF Print E-mail
Written by Admin   
Saturday, 07 March 2009 23:16

 

 SAMBULAYANG....Milik siapakah sambulayang ini?

NOTA: Pandangan MUTALIB M.D adalah pandangan peribadi beliau berdasarkan kajian dan pemerhatiannya dan tidak mencerminkan Pandangan Laman Web ini.

Oleh: MUTALIB M.D

SEJARAH modern Sabah semakin dicelarukan kerana usaha untuk mencari akar budaya dicengkam oleh 'keramat' politik yang mendewakan sesuatu etnik sebagai 'bangsa' yang harus dihormati apabila ketua etnik itu menjadi pemerintah atau 'Ketua Nusa'.

Dalam mencari akar budaya, tidak ada ahli sejarah Sabah yang celik 'welstenchauung' dan mendalami latar belakang yang melatari lanskap budaya sehingga kelihatan saling tak tumpah seperti tujuh orang buta dengan seekor gajah!

Ketua Parti atau Ketua Kaum diangkat sebagai 'Huguan Siou' dan 'Panglima' yang dianggap 'maksum' sekalipun orang yang dilantik sebagai Ketua adalah kaum pendatang atau Warga Asing yang diasimilasi dan diserapkan ke dalam budaya 'pengangkatan anak' sehingga apabila anak yang diangkat itu besar, sejarah silamnya turut dibasuh dengan penghormatan pengikutnya.

Sakaran, umpamanya, dilahirkan di Bolongan, Indonesia dan membawa diri ke Tong Talun (Semporna) mengikut peniaga Kopra (kelapa Kering). Nama asal Sakaran ialah Hashim. Apabila tiba di Semporna, Haji Manandau Aral bercadang untuk mengambilnya sebagai anak angkat tetapi apabila seorang Ketua Kaum Suluk bernama Dandai yang menetap di Menampilik, Semporna mendengarnya, beliau meminta Haji Manandau menyerahkannya disebabkan Dandai tidak mempunyai anak lelaki.

Sejak kecil Sakaran membesar bersama keluarga Dandai iaitu bapa kepada ibu Datuk Seri Shafie Afdal, Bunga Suara Dandai dan telah diterima sebagai pemimpin oleh masyarakat Semporna yang menjadi ikon sehingga kini.

Kecelaruan ini menyebabkan, Tun Sakaran mencari 'katalis' yang mempunyai 'kuasa budaya' untuk mengikat rakyat Sabah supaya mengangkat 'Bajau' (Kobang) sebagai rencah sari kehidupan dengan memperkenalkan Pesta Lepa-Lepa sebagai 'Warisan Budaya Silam' tanpa kajian ilmiah dengan memutar belitkan fakta sejarah.

Apabila Kerajaan Negeri Sabah menyetujui dan bersekongkol dengan Tun Sakaran mengangkat 'Budaya Palau' (Sea Fearer) sebagai 'Legasi Tun Sakaran' maka persepsi masyarakat majmuk di Sabah terhadap etnik Bajau melonjak sekalipun Tun Sakaran lebih sinonim dengan Usia (Pertubuhan Islam Seluruh Sabah) sehingga meletakkan USBO yang dipimpin oleh Datuk Seri Panglima Tun Said sebagai 'generasi kelas kedua' dalam hiraki Bajau di era Tun Sakaran.

 

 TABIK....Tan Sri Chong Kah Kiat pun terpana dengan kehebatan Tun Sakaran.

Pembohongan sejarah yang dilakukan Tun Sakaran ini menyebabkan para pengkaji sejarah dan cerdik pandai serta ahli politik yang kental dengan semangat parokial masing-masing bagaikan dihijab oleh kuasa 'Sambulayang' Lepa-Lepa sehingga tidak berani atau tidak mempunyai kekuatan untuk mencari kebenaran apakah 'Lepa-Lepa' adalah 'Legasi' yang menunjangi persada 'Akar Budaya'.

Pada 17 dan 18 Mac 2009 ini genaplah 16 tahun Pesta Lepa-Lepa ini diangkat sebagai 'TRADISI' dan 'WARISAN' Sabah dan menjadi acara tahun yang WAJIB diadakan sejak daripada Tun Sakaran menjadi Ketua Menteri (1994) di dalam sistem 'Madu Tiga' sehinggalah menjadi 'Raja Sabah' dan dipersarakan setelah UMNO merasakan 'jasanya' menikam Tun Mustapha daripada belakang dilupakan oleh Pemimpin yang menerajui UMNO sekarang.

Tun Sakaran yang digelar sebagai 'Jeep Tun Mustapha' ini telah berjaya memperdaya masyarakat berbilang kaum di Sabah untuk menerima dan mengangkat tinggi budaya 'Palau' yang disahkan sebagai 'warga terapung' tanpa negara sebagai 'Budaya Warisan Sabah' yang tidak boleh diderhakai.

Namun amat malang, kerana tidak ada siapa yang tahu apa yang terjadi dengan derma atau tajaan wang ringgit dan barangan terutama, Pasaraya Giant yang disahkan telah menderma RM2 juta. Begitu juga dengan Shell Malaysia, Celcom, Modenas dan Nestle Malaysia yang menderma tidak kurang daripada RM2 juta setiap entiti.

Walaupun tidak ada pengauditan atau akauntabili dilakukan oleh Jabatan Audit Negara atau juruaudit swasta, namun amat jelas wang derma berkenaan telah diseleweng oleh pihak tertentu untuk tujuan yang tidak jelas.

 

 KENANGAN....Tapak Pesta Lepa-Lepa sejak lima tahun lalu telah bangunkan rumah kedai.

Sudah 15 tahun Pesta Lepa-Lepa ini dipuja sebagai 'Warisan Bajau', namun pesta tahunan ini tidak mempunyai tempat tetap dan terpaksa bersetinggan di atas tanah orang selama bertahun.

Shafie tidak mampu berbuat apa-apa kerana di luar bidang kuasa beliau disebabkan Adun yang mewakili kawasan berkenaan terlena sehingga tanpa sedar menyetujui kelulusan tanah yang menjadi tapak pesta sekian lama kepada Jimmy Wong yang kini Adun Sri Tanjung  (DAP) tidak memikirkan betapa pentingnya sebuah tapak tetap untuk menyambut acara tahunan.

Jimmy Yong telah bermurah hati membenarkan penganjur Pesta Lepa-Lepa menggunakan tapak berkenaan yang BERGERAN secara PERCUMA selama lima tahun sebelum membangunkan tapak berkenaan sebagai Pusat Komersil.

Senario ini agak memalukan kerana setiap tahun Pegawai Daerah Semporna terpaksa 'berlutut' merayu ehsan Jimmy Wong untuk menggunakan tanahnya, namun pada 2009 Jimmy terpaksa bertegas dengan pihak penganjur dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tertentu sebelum berjaya membangunkan tanah 'Lepa-Lepa' tersebut.

Keengganan Jimmy ini menyebabkan 'Penganjur' bagaikan dikejutkan dengan mimpi ngeri apabila mendapati tidak ada tapak yang sesuai kerana hampir semua kawasan pesisir yang bertanah telah diluluskan atau dimajukan dengan pembangunan rumah kedai dan hotel.

Sampai bila rakyat Sabah harus menerima 'pembohongan budaya' dan sampai bila 'Pesta Lepa-Lepa' ini bersetinggan di tanah orang sedangkan berjuta ringgit telah disumbangkan oleh syarikat swasta!

Sewajarnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat ke manakah derma berkenaan dilaburkan dan memberi tunjuk ajar bagaimana menyediakan akaun derma yang teratur agar 'penipuan' dan 'penyamaran' budaya sumpah-sumpah ini dapat dihentikan. 

Sejarah yang berakar di minda masyarakat Bajau yang dipapah turun daripada satu generasi kepada satu generasi sukar untuk menerima 'Regatta Lepa-Lepa' sebagai budaya kerana majoriti masyakat Bajau tempat tidak akan menerima bulat-bulat budaya 'Palau' ini diasimilasikan sebagai budaya 'Bajau' melainkan Bajau yang sememangnya berasal daripada Filipina dan mendapat kerakyatan Malaysia melalui jalan belakang. 

Regatta Lepa-Lepa yang dipaksakan sebagai salah satu perayaan tahunan Daerah Semporna sejak 1994 dan kemudiannya diiktiraf menjadi perayaan peringkat negeri Sabah sebelum dimasukkan ke dalam kalendar 'Pesta Air Malaysia' pada 2003 dan kinimenjadi salah-satu acara tahunan Malaysia.

BUDAYA... Inikah akar budaya Palau yang cuba diterapkan sebagai Budaya Kebangsaan?

LEGASI... Apakah Legasi Palau yang akan ditinggalkan Sakaran kepada cucunya?

 

Lepa yang masih menjadi 'bungalow' Palau sehingga kini bagaikan kayu ara kepada akar budaya Sabah yang mereput bersama 'pengklonan manusia' melalui projek X-Files IC Projek yang dijuruterakan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Melalui pembohongan dan penciptaan laras budaya palsu, Lepa menjadi semakin berpengaruh dalam perkembangan seni budaya Bajau tempatan namun tidak berjaya menyerap ke dalam 'Bajau Darat' yang juga menjadikan laut sebagai 'padang permainan'.

Tun Sakaran berjaya meletakkan Lepa sebagai satu lambang keagungan dan warisan budaya bangsa Bajau Semporna sehingga menjadi 'Dogma' yang menjadi 'anutan' warganegara segera yang mempunyai pertalian dengan 'Palau' yang bukan rakyat Malaysia sekalipun dipaksa memohon atau diberi Kad Pengenalan Projek.

Bajau Palau (dikenali sebagai ‘Orang Laut’ yang tinggal dalam perahu lepa-lepa) kebanyakannya masih tidak menganut sebarang agama sehingga kini (Ateis atau animisma) kerana para pendakwah menghadapi kesukaran mengIslamkan mereka disebabkan gaya hidup Palau ini yang senantiasa dalam perahu (lepa-lepa) mereka lagi pun mereka enggan duduk di darat sebagaimana suku Bajau lain.

Mengikut susur galur sejarah, hanya ‘Sapit’ yang besarnya seperti tongkang pada zaman dahulunya digunakan oleh golongan saudagar untuk membawa barang dagangan dari satu tempat ke satu tempat dan bukannya Lepa-Lepa.

Sapit yang paling besar dipanggil Baddoya tetapi di Semporna penggunaannya sudah jarang-jarang ditemui. Bajau Laut telah menggantikannya dengan Lepa-Lepa sama ada untuk ke laut menangkap ikan, rumah kediaman ataupun pengangkutan. Lepa-Lepa Penasil adalah perahu yang lebih besar dalam kategori Lepa-Lepa di Semporna.

Kajian awal oleh Badan Galak Pusaka mengenai asal-usul etnik Bajau amat menarik apabila mereka mendapati Bajau adalah generasi asli Melayu Deutro yang mula bergerak dari Yunan menuju arah selatan (Asia Tenggara) pada kira-kira 1500 tahun sebelum Masehi iaitu 3500 tahun yang lalu, yang kemudian tersebar luas di seluruh kepulauan Melayu dan Lautan Pasifik.

Oleh itu, Palau sebenarnya bukanlah Bajau atau orang tempatan, apatah lagi menerima Lepa-Lepa sebagai 'budaya tempatan' kerana mereka tidak menganut sebarang agama dan lebih banyak masa mereka berada di laut daripada di darat dan mengamalkan 'amalan dan cara hidup' yang tidak boleh diterima oleh masyarakat Malaysia yang bertamaddun! 

 

Last Updated on Sunday, 08 March 2009 16:28