Banner
12 LOJI HASILKAN 1.5 JUTA TAN BIODIESEL? PDF Print E-mail
Written by Admin   
Sunday, 22 February 2009 16:28

Oleh Che Johari Mamat (Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Sejumlah 12 loji pengeluar biodiesel kini beroperasi dengan kapasiti pengeluaran 1.5 juta tan setahun sehingga akhir Oktober 2008 lalu bagi memenuhi permintaan industri biobahan api dalam Negara dan juga untuk tujuan eksport.

Pengerusi MPOB, Dato’ Sabri Ahmad berkata demikian semasa memberi ucapan alu-aluan sempena Pelancaran Envo Diesel Ester (B5) di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini baru-baru ini.


Pelancaran penggunaan Envo Diesel Ester adalah strategi kerajaan ke arah merealisasikan penggunaan biobahan api dalam Negara dan ia sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri pada 30 Oktober 2008 supaya adunan biodiesel digunakan secara mandatori dalam Negara mulai Februari 2009.

Dato’ Sabri berkata, ia bukan saja selaras dengan Dasar Bio Bahan Api Negara malah juga selari dengan perkembangan global yang semakin memberi tumpuan kepada penggunaan sumber tenaga alternatif yang boleh diperbaharui bagi mengurangkan penggantungan kepada bahan api fosil.

“Penggunaan bahan api bio dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida yang menyebabkan pemanasan global dan juga berupaya merangsangkan peningkatan permintaan dan harga minyak sawit di pasaran global.

“Penggunaan bahan api bio juga dilaksanakan oleh negara jiran seperti Thailand, Filipina dan hasilnya amat positif. Manakala Indonesia akan menggunakan secara mandatori bermula Januari 2009, iaitu B1 bagi sektor pengangkutan, B2.5 industri dan B0.25 untuk jana kuasa,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan mandatori penggunaan biodiesel sawit dalam negara dan meningkatkan pengeluaran untuk eksport akan menyumbang kepada kesejahteraan industri sawit dan ekonomi negara.

“Sekiranya lima peratus biodiesel sawit diadun bersama dengan 95 peratus petrol diesel untuk kegunaan dalam negara, ia memerlukan lebih kurang 500,000 tan metrik minyak sawit mentah untuk menghasilkan 500,000 tan biodiesel sawit,” katanya.

Last Updated on Sunday, 22 February 2009 16:30