Banner
HALAU SEMUA PATI DI SEBANGKAT DAN TMTS PDF Print E-mail
Written by Admin   
Wednesday, 10 February 2010 09:47

BINCANG.... Abdullahsani (berbaju hitam) sedang berbincang  berhubung isu keselamatan dengan para pekerja syarikat akuakultur milik ahli keluarganya. Salah seorang mangsa penculikan (membelakang berbaju T putih) seminggu menjelang penculikan berkenaan.

 

Oleh: MUTALIB M.D

PENGERUSI Local Community Forum Taman Marin Tun Sakaran, Abdullahsani Haji Abdul Salleh menggesa Kerajaan Persekutuan mengadakan operasi khas menghalau keluar semua saki baki pendatang asing tanpa izin yang bersetinggan di Terumbu Karang Pulau Sebangkat dan Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), Semporna bagi memastikan keselamatan pewaris dan rakyat Sabah terjamin.

“Saya kesal kerana tujuh laporan polis yang dibuat para pewaris pulau-pulau di TMTS berhubung isu keselamatan dan kedaulatan tidak diendahkan polis Semporna sehingga menyebabkan kejadian penculikan dua pengusaha akuakultur di Terumbu Karang ini,” kata Abdullahsani yang turut menuding jari kepada Pengarah Taman-Taman Sabah, Paul Basintal kerana beliau enggan melayan beberapa memorandum penting yang dikemukakan pewaris TMTS.

 

 

 

Menurut Abdullahsani, Ketua Polis Daerah Semporna dan Pengarah Taman-Taman Sabah harus dipersalahkan berhubung penculikan dua pengusaha akuakultur agar-agar kerana kebimbangan para pewaris selama ini telah disasarkan kepada laporan polis dan memorandum; namun kecuaian pihak berkuasa menyiasat aduan dan memorandum yang dikemukakan menyebabkan penculikan ini tidak dapat dihalang.

Sehubungan itu, Abdullahsani menggesa Paul Basintal meletakkan jawatan sebagai Pengarah Lembaga Taman-Taman Sabah atau Kerajaan Negeri Sabah menukarkan beliau ke jabatan lain kerana tidak cekap mentadbir urus TMTS sehingga mengancam nyawa seluruh pewaris TMTS.

“Saya benar-benar kecewa kerana Pulau Sebangkat berada di tengah-tengah kawalan pihak berkuasa keselamatan boleh diceroboh begitu mudah dan sehingga ke hari ini kehadiran pihak keselamatan kelihatan tidak memberikan sebarang makna disebabkan masih terdapat lebih 1,000 orang Pati di sepanjang Terumbu Karang Sebangkat dan TMTS,” ujar Abdullahsani yang mendesak agar Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim mengadakan operasi khas mengepam keluar semua Pati yang tinggal secara haram di TMTS.

Tegas Abdullahsani lagi, Noor Rashid harus bertanggung jawab di atas keselamatan para Pewaris TMTS kerana mereka telah membuat tujuh laporan polis namun tidak ada satu pun yang mendapat layanan polis sehinggalah berlaku kejadian yang tidak diingini ini.

 

 

“Sebelum ini, pengusaha yang sama dirompak RM100,000 tetapi kerana tujuh laporan sebelum ini tidak diendahkan polis, maka mereka hanya mendiamkan kejadian rompakan tersebut kerana tidak yakin dengan kecekapan polis. Kini pengusaha berkenaan diculik. Siapa yang mahu bertanggung jawab?,” tanya Abdullahsani yang turut kesal kerana  Pulau Sebangkat begitu mudah dibolosi.

Kata Abdullahsani lagi, polis memberi alasan keanak-anakan apabila bot mereka gagal merapat ke Terumbu Karang berkenaan kerana terlalu tohor sedangkan penculik begitu mudah beroperasi menggunakan pam bot yang begitu berleluasa tanpa kawalan di Semporna sekalipun diharamkan undang-undang.

“Bukankah ada bot tentera laut yang boleh beroperasi di atas air atau Pasukan Gerakan Marin mempunyai Unit Penyelam yang boleh bertindak pantas berbanding alasan yang memalukan tersebut,” kata Abdullahsani yang kecewa dengan ketidak cekapan polis membanteras kegiatan perlanunan, penculikan dan rompakan di perairan Sabah selepas isu Sipadan dan Pandanan.

Sehubungan itu, Abdullahsani akan menemui Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan untuk menghantar bantahan rasmi dan mendesak agar semua koloni pati di TMTS dimusnahkan dan Pati diusir keluar.

“Selagi ramai Pati berada di TMTS, selagi itulah keselamatan pewaris tidak terjamin. Bukankah itu tanggung jawab Kerajaan Persekutuan untuk memastikan keselamatan terjamin dan kedaulatan terpelihara?,” tanya Abdullahsani yang mendesak agar para Pewaris TMTS dipanggil berunding sebelum menjalankan sebarang langkah seterusnya.

 

Last Updated on Wednesday, 10 February 2010 10:17