| CABUTAN UNDI RUMAH LPPB KALANG FASA 3 |
|
|
|
| Written by Admin |
| Monday, 08 February 2010 00:38 |
|
Oleh: MAIL MATHEW AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Datuk Rubin Balang menasihatkan para pembeli rumah mampu milik Taman Bosoi, Fasa Tiga, Kalang milik Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) tidak kecewa atau berputus asa meskipun cabutan undi penentuan lot pembeli telah dibatalkan kerana terdapat bantahan pembeli. Katanya lagi, proses cabutan semula akan diadakan dalam masa terdekat ini di mana pengurusan LPPB dijangka akan memberi keutamaan kepada mereka yang benar benar layak dan memenuhi kreteria sahaja. “Saya diberitahu bahawa suasana kecoh telah berlaku di situ apabila para pembeli membuat bantahan kerana tidak puas hati dengan cabutan undi, namun apa daya ketika itu jawatan Pengerusi LPPB sudah tamat dan selagi jawatan belum disambung saya tiada kuasa untuk campur tangan,” tegas Rubin. Kenyataan Rubin ketika mengulas insiden yang berlaku pada penghujung bulan lepas di mana LPPB terpaksa membatalkan proses cabutan undi untuk penetapan lokasi lot pembeli di Taman Bosoi, Fasa 3 Kalang kerana beberapa pembeli telah membantah dan tidak berpuas hati dengan perjalanan cabutan undi yang dijalankan pengurusan LPPB. “Bagaimana pun atas pandangan dan nasihat rakan-rakan terutamanya kedua-dua wakil rakyat di sini, saya terpaksa campur tangan dan mengarahkan pengurusan LPPB supaya proses cabutan undi itu dibatalkan,” kata beliau ketika memberitahu Sabahkini.net pada Ahad. Namun demikian, Rubin memberi keyakinan bahawa LPPB mampu melayani masalah permintaan yang kian bertambah ketika ini secara berperingkat-peringkat kerana LPPB masih mempunyai kawasan tapak perumahan yang belum diterokai di kawasan Tenom. Ketika menyentuh perkembangan lain berhubung keceriahan dan kebersihan pekan di sini Rubin berkata, beliau meminta kerjasama daripada semua pihak dalam kawasan pekan seperti JKDB, Dewan Perniagaan Tiong Hua, para pekedai dan pemimpin NGO agar turut sama membantu kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyumbang pendapat mereka bagi menceriakan kawasan pekan. “Kita mahu keceriahan dan kebersihan kawasan pekan di sini akan mengulangi zaman era kegemilangan ketika tahun 1970-an dan 1980-an, para pekedai ketika itu sangat berdisiplin dan mementingkan kebersihan,” tambah Rubin lagi |
| Last Updated on Monday, 08 February 2010 01:19 |





















