Banner
DASAR ‘GENDER TO GENDER’ GAGAL PDF Print E-mail
Written by Admin   
Sunday, 07 February 2010 01:11

 

Oleh: SURIATI MAHMUD

WALAUPUN berjuta ringgit wang rakyat dibelanjakan untuk melaksanakan program ‘Gender to Gender’, namun realitinya hanya sekadar di bibiran (Lips Service) kerana Kerajaan Barisan Nasional ternyata gagal menjiwai dasar berkenaan yang mengutamakan kesaksamaan gender.

Mantan Setiausaha UMNO Cawangan Long Danau, Hanidah Mohd Ali, 33, menegaskan bahawa Dasar Ekuiti Wanita dalam Sektor Perkhidmatan Awam gagal dilaksanakan kerana tidak sampai 10 % Wanita yang menjadi Ketua Pejabat di Lahad Datu.

Konsep Gender, kata Hanidah, pertama kali diperkenalkan oleh Robert Stoller (1968) untuk memisahkan pencirian manusia yang didasarkan pada pendefinisian yang bersifat sosial budaya dengan ciri-ciri fisik biologis

“Daripada lebih 22 Jabatan Persekutuan, hanya ada seorang ketua pejabat Wanita (Kemas), manakala daripada lebih 16 Jabatan Negeri, hanya seorang wanita (Bendahari Negeri) yang dilantik sebagai Ketua Pejabat,” ujar Hanidah yang kesal Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat gagal memastikan dasar ini diaplikasikan.

Ketidak samaan gender ini, kata Hanidah, menyebabkan peranan wanita terus dipinggirkan dan gagal diperjuangkan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Silam dan Ketua Puteri UMNO Silam.

“Wanita merupakan golongan pengundi paling ramai di Silam, namun kerajaan BN gagal mengapresiasi peranan wanita dalam pembangunan Negara terutama di peringkat pelaksana dasar,” ujar Hanidah yang merujuk kepada penempatan Bekas Majistret Kelas II yang diturunkan pangkat sebagai Pegawai Kebajikan daerah Lahad Datu menggantikan pegawai wanita.

Tegas Hanidah, penempatan bekas Majistret Kelas ‘Kambing’, Mahadi Alindal, yang sebelum ini adalah Penolong Pegawai Daerah Semporna yang ‘dibuang’ ke Lahad Datu kerana gagal disahkan jawatan S41 menggantikan Puan Sarina Abdul Ganih; sebagai pencabulan hak ke atas kesaksamaan gender.

Kerajaan Persekutuan, kata Hanidah, menetapkan kuota 30 % penyertaan wanita di sektor awam, namun ianya hanya mimpi yang tidak pasti di Lahad Datu kerana tiga Ahli Dewan Undangan Negeri dan seorang ahli Parlimen hanya membisu seribu bahasa.

“Bukankah menjadi tugas semua Adun dan Ahli Parlimen ini mengekalkan dasar kerajaan yang dilanggar oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Ithong @ Etong Terang apabila menghantar Mahadi yang berskel S27 menggantikan Puan Sarina, yang juga Skel S27,” ujar Hanidah yang sekaligus mencabul hak dan kehormatan peranan wanita.

Menurut Hanidah, Dasar Wanita Negara adalah kesinambungan kepada dasar sebelum ini yang mengambil kira isu, peluang, cabaran dan persekitaran masa kini dan yang akan datang; berteraskan Perlembagaan Persekutuan, prinsip Rukun Negara dan Dasar Sosial Negara yang mendukung cita-cita untuk mencapai kesaksamaan gender dan pembangunan negara yang seimbang dan lestari.

“Dasar Wanita Negara mendukung prinsip tiada diskriminasi berasaskan gender seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membangunkan modal insan yang berdaya saing dan mempunyai ketahanan diri dengan melahirkan wanita yang berilmu dan berwawasan, mempunyai daya kreativiti dan inovasi serta menghayati nilai-nilai murni,” namun kata Hanidah, dasar ini gagal dilaksanakan di Lahad Datu.

Sehubungan itu, Hanidah mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun membatalkan segera penempatan Mahadi Alindal dan menempatkan lebih ramai wanita sebagai Ketua Pejabat.

“Adalah lebih baik mereka meletakkan jawatan daripada bercakap tentang wanita, tetapi gagal memperjuangkan hak wanita,” tegas Hanidah lagi yang menekankan pegawai wanita dinafikan peluang dan peranan dalam pembangunan negara dan hanya menjadi kumpulan sokongan atau ‘khadam’ kepada Kerajaan Persekutuan.

Last Updated on Sunday, 07 February 2010 01:34