Banner
POLIS Vs ANAK NEGERI SABAH? PDF Print E-mail
Written by Admin   
Friday, 05 February 2010 16:28

 

Oleh: ZAINUDDIN HASSAN

TINDAKAN Mantan Ketua Daerah Sandakan, OKK Hassnar Ebrahim menggelarkan dua anggota Polis dengan berkata “anjing punya Polis dan Polis makan rasuah mungkin keterlaluan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim; namun menjadi lampu suluh kepada Anak Negeri Sabah dalam usaha untuk menjinakkan ‘anjing polis’ yang selama ini mendalangi rampasan tanah Anak Negeri Sabah.

Ekoran daripada tindakan celuparnya itu, Hassnar telah dituduh di bawah seksyen 8 (1) Ordinan Kesalahan Kecil dan Hakim Mahkamah Majistret, Puan Herlina Muse mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan terdapat prima facie kes terhadap tertuduh yang jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda RM25.00 dan Hassnar diperintah membela diri. Isu ini bertambah menarik apabila perbicaraan bersambung pada hari Sabtu, 27 Februari 2010 kerana empat Ketua Polis Daerah telah disapena supaya hadir di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Namun, Hassnar adalah satu-satunya daripada 3.2 juta rakyat Sabah (termasuk Pati) yang berani menongkah arus untuk menimba kebenaran dan menjinakkan polis yang diibaratkan sebagai ‘anjing.’

Tindakan Hassnar ini luar biasa kerana lazimnya orang kebanyakan atau peniaga berjaya seperti beliau, hanya akan mengaku salah dan membayar denda RM25 daripada membelanjakan puluhan ribu untuk mempertahankan maruahnya daripada dicemari air liur ‘anjing’; sesuatu yang ditakrifkan sebagai najis mughallazzah!

Namun mampukah rakyat biasa terutama para Pekebun Kecil Tingkayu menjinakkan polis yang kelihatan semakin ganas seperti ‘Bulldog’ atau ‘Alasatian’ yang tidak berperi kemanusiaan; menunggu masa untuk menyerang dan mencederakan mangsa?.

Sebelum ini, Hassnar adalah antara yang digelar sebagai ‘Pengacau’ dalam kes pertikaian tanah Tingkayu seluas 4,000 ekar antara Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad (SKPTTB) dengan 171 pekebun kecil yang mendapat Perintah Injunksi daripada Mahkamah Tinggi Tawau pada 1 Februari 2008 kerana menyifatkan ‘Polis Malaysia Bodoh’ ketika diminta mengulas isu Tanah Tingkayu yang sudah berlarutan sejak lima hampir tiga tahun lalu.

"Sayalah orang yang memberi nasihat kepada Pekebun Kecil untuk bertindak dan bukannya takut kepada polis. Masa untuk orang awam hormat dan takut kepada polis telah berakhir. Jika CP ingin menangkap dalang pekebun kecil, tangkap dan dakwalah saya," ujar Hassnar yang mencabar PDRM menangkap beliau.

Hassnar membuat cabaran demikian ekoran daripada tindakan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim telah memberi amaran yang keras kepada semua pihak agar jangan mencampuri urusan tanah di Tingkayu sehingga sanggup menuduh beberapa individu dan pertubuhan bukan kerajaan mendalangi para pekebun kecil dengan memberi nasihat yang salah dan menghasut pekebun kecil melanggar undang-undang.

Kata Hassnar, melatahnya seorang Pesuruhjaya Polis Sabah tetapi masih berpangkat DCP, menunjukkan betapa tidak profesionalnya polis Sabah sejak mantan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Yusof terlibat dengan Skandal Tanah di Tanjung Labian, Lahad Datu.

Menurutnya lagi, betapa sukarnya seorang Pesuruhjaya Polis Sabah memahami apakah itu Injunksi Mahkamah sehingga mudah dipengaruhi oleh Pengerusi SKPTTB, Hajjah Alinah Usman Suing dengan memutar belit fakta bahawa Mahkamah Tinggi Tawau telah memberikan hak tanah seluas 4,000 ekar kepada SKPTTB, membuktikan Noor Rashid adalah seorang ‘peniaga polis’ ataupun ‘polis yang berniaga’ dan bukannya layak menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah.

"Keputusan rayuan Perbicaraan Tanah di Mahkamah 2006 antara Yadum Atihal dengan Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur yang digunapakai oleh Hajjah Alinah untuk mempengaruhi Noor Rashid bahawa tanah tersebut milik SKTPPB adalah tidak sah dan tidak berkuatkuasa kerana tidak langsung merujuk kepada SKTPPB," ujar Hassnar yang mengibaratkan kesalahan trafik diguna pakai dalam kes dadah.

Tegas Hassnar lagi, atas sebab teknikal, Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Clement Skinner telah menolak rayuan pekebun kecil, namun menerima Saman Pemula Pekebun Kecil terhadap SKTPPB melalui Saman T (21) 4 Tahun 2008 yang difailkan pada 30 Januari 2008.

Clement Skinner kemudiannya telah meluluskan Injunksi Mahkamah kepada 171 Pekebun Kecil Tingkayu pada 1 Februari 2008 yang berbunyi;

"Adalah dengan ini Plaintif (Pekebun Kecil) diberi Injunksi untuk mencegah Defendan Pertama (Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad) sama ada bagi pihak mereka sendiri, kakitangan, pekerja atau agen atau sesiapa sahaja daripada menghalang Plaintif memasuki atau keluar daripada tanah tersebut dan menuai tanaman mereka di situ dan atau Defendan Pertama daripada meminta, mengambil atau menerima milikan kosong tanah tersebut yang kononnya diberi kepada Defendan Pertama di bawah geran CL 245361951 sehingga pembicaraan tindakan ini atau perintah lanjut oleh Mahkamah ini."

Namun kata Hassnar, Injunksi ini gagal difahami oleh Pesuruhjaya Polis Sabah dengan mengambil sikap menyebelahi SKPTTB iaitu mendakwa bahawa tanah yang menjadi pertikaian tersebut milik SKPTTB sedangkan Injunksi yang diluluskan Mahkamah Tinggi Tawau tidak membenarkan SKPTTB mendakwa tanah tersebut milik mereka sehingga kes mereka dibicarakan dan diputuskan mahkamah.

"Jika polis menghalang pekebun kecil masuk ke kebun mereka dengan pelbagai ugutan dan dalam masa yang sama membiarkan penjenayah bermaharaja lela, maka polis melakukan subjudis dan Malafide serta membantu penjenayah merampas hak pekebun kecil," kata Hassnar yang mendesak Ketua Polis Negara membuka kertas siasatan terhadap perlakuan Noor Rashid yang menafikan hak pekebun kecil untuk bersuara dan membela hak mereka.

Kini setelah SKPTTB tewas dalam kes perbicaraan SK 22-217 Tahun 2006 di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan secara sah SKPTTB telah lucut hak ke atas tanah tersebut yang dijual kepada Merityield Sdn.Bhd, polis masih gagal memastikan Injunksi berkuatkuasa kerana kumpulan Merityield mula memasuki tanah berkenaan meskipun Injunksi masih berkuatkuasa.

Kemenangan Merityield di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, kata Hassnar langsung tidak memberi kesan kepada 171 Pekebun kecil kerana tidak ada pihak yang boleh mendakwa tanah tersebut milik mereka terutama di kawasan yang tidak dimiliki oleh sebarang pekebun kecil.

“Anggapan 171 pekebun X 15 ekar iaitu 2,565 ekar sahaja berbanding dengan geran seluas hampir 4,000 ekar adalah salah sama sekali kerana injunksi berkenaan menyebut nombor hak milik dan bukannya keluasan berdasarkan peserta,” tegas Hassnar yang meminta pihak Merityield agar tidak menyalahgunakan proses mahkamah untuk menindas pekebun kecil.

Cukuplah selama ini, kata Hassnar mereka telah menyalahguna proses mahkamah dengan tidak menamakan 171 pekebun kecil sebagai defendan, sedangkan mereka tahu bahawa tanah berkenaan telah ditanam; sebaliknya menuduh pekebun yang mendapat Injunksi mahkamah sebagai penceroboh.

 

 

 

SERANG... Alimuddin (kiri) sedang mengarahkan orangnya menyerang kumpulan pekebun kecil, walaupun polis menafikan Alimudin berada di lokasi ketika berlaku pembunuhan berlaku.

 

Dalam pada itu, salah seorang peguam yang mewakili 171 Pekebun Kecil Tingkayu, James Valentino Tanggar menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan agar menjalankan siasatan rapi dan menyeluruh berhubung insiden berdarah di Skim Pekebun Kecil Tingkayu, Kunak dan senario sekarang kerana keselamatan para pekebun kecil tidak lagi terjamin akibat campurtangan polis.

"Ada sesuatu yang cuba disembunyi PDRM dan saya mengesyakki ianya melibatkan konspirasi peringkat tertinggi di dalam PDRM yang mempunyai kepentingan terhadap tanah berkenaan sehingga sanggup mencabut nyawa mereka yang tidak berdosa dan menyumbat mereka yang tidak berdosa ke dalam lokap sesuka hati," ujar James yang sebelum ini hampir kehilangan jiwa dalam insiden berdarah Tingkayu pada 12 Februari 2009.

Kata Valentino, beliau meminta Ketua Polis Negara menukarkan segera semua pegawai polis yang bertugas di Kunak kerana disyaki bersubahat dengan penjenayah sejak diperdaya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kunak, ASP Tan Hiap Wah pada 2008 yang hampir meragut nyawa beliau dan pekebun kecil jika mereka tidak segera beredar.

Selepas insiden berdarah 12 Februari 2009, James telah membuat satu laporan polis, namun sehingga ke hari ini, PDRM gagal menghadapkan ASP Tan Hiap Wah dan kakitangan bawahannya kepada Lembaga Disiplin atau menangkap James sekiranya laporan yang dibuat James adalah dikategorikan sebagai laporan palsu.

Isi kandungan laporan polis James seperti berikut;

"Pada 11 Februari 2009 jam lebih kurang 1.00 petang, saya telah berjumpa dengan ASP Dzulmukzani Ismail di Balai Polis Daerah Kunak. Saya telah memaklumkan ASP Dzul bahawa saya mewakili para pekebun kecil Tingkayu berhasrat untuk memasuki kebun Tingkayu dan meminta bantuan pihak polis untuk mengiringi kami untuk tujuan tersebut. Saya juga memaklumkan bahwa perintah injunksi bertarikh 1 Februari 2008 telah dikeluarkan oleh mahkamah untuk melarang pihak koperasi, pekerja-pekerjanya dan ejen-ejannya daripada menghalang 171 pekebun memasuki dan mengambil hasil kelapa sawit. ASP Dzul menyatakan bahawa pekebun-pekebun belum ada perintah pelanggaran injunksi dari mahkamah. Namun, beliau memberikan Jaminan bahawa beliau telah menempatkan tidak kurang 3-5 anggotanya di dalam tingkayu untuk langkah berjaga-berjaga ekoran perbalahan yang berlaku pada 10 Februari 2009 dan akan terus berada di sana untuk mengawal keadaan yang tidak diingini. Berdasarkan kepada jaminan kehadiran 24 jam anggota polis di dalam Tingkayu oleh ASP Dzul, saya telah memaklumkan kepada kesemua pekebun dan pekerja mereka bahawa mereka boleh memasuki Tingkayu dan saya akan menemani mereka. Pada keesokannya, bertindak atas Jaminan yang diberikan oleh ASP Dzul, saya dan para pekebun memasuki Tingkayu pada jam lebih kurang 1.10 petang. Saya telah cuba menghubungi ASP Dzul beberapa kali sejak jam 10 pagi tetapi gagal dan mesej melalui sistem pesanan ringkas memaklumkan pergerakan masuk kami yang saya hantar pada jam 1.24 petang juga tidak dibalas oleh beliau. Kami bergerak dalam kumpulam berjumlah lebih kurang 45 orang dengan menaiki 4 buah pancuan empat roda dan sebuah buah lori 3 tan. Setibanya kami di pintu pagar Tingkayu, penjaga-penjaga pintu pagar bagi pihak Tingkayu telah menutup pintu pagar dengan rantai besar. Saya memperkenalkan diri sebagai peguam pekebun-pekebun dan telah memaklumkan kepada polis tentang hasrat kami memasuki kebun untuk memungut hasil kelapa sawit yang telah dibenarkan oleh perintah mahkamah. Seorang penjaga gate yang saya percaya seorang pendatang tanpa izin (gambar disertakan dan ditanda A1) memberitahu saya yang beliau mahu merujuk kebenaran ‘bos’ beliau dahulu. Tidak lama kemudian, pemuda itu menyatakan yang bos mereka telah memberikan kebenaran. Pada ketika itu, saya tidak melihat banyak orang yang menjaga kawasan tersebut. Atas izin penjaga pagar itu, dan setelah rantai dilepaskan, saya bersama pemandu, 3 orang penumpang tempat duduk belakang dan 5 orang di belakang pancuan empat roda bergerak masuk melepasi pagar. Setelah bergerak sejauh 50 meter, saya sedari rantai pagar telah ditutup semula dan kami berundur mendekati pagar. Saya bertanya kepada penjaga pagar (Gambar A1) kenapa tutup pagar dan halang pekebun lain? Tetapi sebelum beliau menjawab, sekumpulan ramai tukang pukul koperasi berjumlah lingkungan 100-150 diketuai oleh Alimudin Ajay datang dari arah dalam kebun lengkap dengan senjata seperti parang, samurai, lembing dan bakakuk. Alimudin meluru mendekati pagar. Saya menyatakan saya peguam mewakili pekebun dan pihak polis akan menyusul bila-bila masa. Alimudin menyahut dengan berteriak ‘Polis Kunak saya punya’ dan mengarahkan penjaga pagar bertahan sebelum memberikan arahan “serang!!!!” sambil mengeluarkan parang panjang dari sarung yang dipegangnya. Saya melihat dengan jelas PTI (gambar A1) memukul seorang pekebun bernama Ali dengan besi paip panjang. Pukulan mengenai perut dan juga muka mangsa yang terus berlumuran darah dan rebah. Salah seorang pengikut Alimudin cuba menetak saya. Saya terpaksa mengelak dengan menangkap parang penyerang itu dan mengalami kecederaan di jari telunjuk tangan kanan. Saya diberikan rawatan 7 jahitan di Hospital Kunak. Saya juga melihat seorang pekerja koperasi atas arahan Alimudin (Serang) mengacukan bakakuk (Gambar disertakan dan ditandakan A2) dan melepaskan tembakkan ke arah saya tetapi mengenai bahagian peha salah seorang pekerja pekebun yang berada di hadapan saya dan secara langsung jatuh cedera parah. Mengikut maklumat individu A2 sering dilihat bersama Timbalan Ketua Cawangan Khas Tawau iaitu ASP Muzafar Mahadi. Kenderaan di dalam gambar didaftarkan dibawah nama Mak Bambat Bin A. Karedas dari Kampung Simpang Mewah, Jalan Sandakan, Peti Surat 61921, 91127 Lahad Datu, Sabah. Salah seorang pengikut Alimudin juga menggunakan chain saw untuk memotong cermin depan pacuan empat roda yang saya naiki sebelum memotong tayar kereta yang sama. Setelah menyedari nyawa saya dalam bahaya, saya mengarahkan pekebun-pekebun dan pekerja-pekerja untuk keluar dari Tingkayu. Kami berundur dan melanggar rantai pagar. Kenderaan kami terhenti di bahagian bertanah lembut dan pada ketika itu individu A2 yang sama mengacukan bakakuknya tepat ke muka saya sekali lagi. Saya terpaksa menutup hujung laras bakakuk itu dengan telapak tangan saya. Individu itu melepaskan tembakan beberapa kali tetapi bakakuknya tidak meletup dan melepaskan peluru. Orang yang sama juga telah cuba melepaskan tembakan ke arah seorang pekebun kecil, Lawrence iaitu salah seorang pekerja pekebun tetapi tembakan mengenai kenderaan empat roda milik Haji Hussin Ibnu Hassan. Kami bergegas meninggal tempat kejadian. Saya sempat melihat salah seorang pekebun yang bertindak sebagai jurukamera kami berlari ke arah hutan sambil dikejar oleh 3 orang penyerang pengikut Alimudin dengan besi paip dan parang panjang. Kami memangilnya tetapi di antara dia dengan kenderan kami banyak orang-orang Alimuddin. Polis mengesahkan beliau telah dibunuh dan mayatnya telah dijumpai. Saya membuat laporan ini untuk siasatan di bawah seksyen 302 dibaca bersama seksyen 34 bagi kesalahan membunuh dan cuba membunuh dengan niat yang sama ke atas diri saya dan orang-orang yang telah mendapatkan perintah injunksi berserta keluarga/pekerja mereka."

Pengakuan Pengerusi SKTPPB, Hajjah Alinah di TV 3 memudahkan lagi 171 Pekebun Kecil mengambil tindakan Menghina Mahkamah bukan sahaja terhadap Alinah, malah Pesuruhjaya Polis Sabah, pekerja SKTPPB yang diupah untuk mencuri hasil pekebun kecil, malah Ketua Polis Daerah Kunak, Dingka Utoh yang mempunyai kepentingan di atas tanah berkenaan sehingga ditukarkan ke Cheras, Selangor.

Natijahnya berlaku pertumpahan darah di Tingkayu pada 12 Februari 2009 akibat tindakan balas pekebun kecil yang merasakan tiada lagi kedaulatan Undang-Undang di Sabah dan Keluhuran Perlembagaan telah dicabuli polis dan SKTPPB yang dilindungi polis?

Sesuatu yang agak mengejutkan, empat orang pekebun kecil dari Skim Pekebun Kecil Tingkayu telah membuat 14 laporan polis di Balai Polis Labuan pada 1 Julai 2008 kerana tidak mempercayai kredibiliti Polis Kunak yang ketika itu masih diterajui DSP Dingka Utoh.

Salah seorang pekebun kecil, Richard Mekules, yang juga Setiausaha Persatuan Skim Pekebun Kecil Tingkayu membuat laporan KNK/RPT/1291/08 yang berbunyi;

“Pada lebih kurang jam 9.30 pagi, 29 Jun 2008, bertempat di kediaman sendiri, saya menyaksikan rakaman VCD yang di muat turun daripada Laman Web TV3 berhubung satu kenyataan umum yang di buat oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Noor Rashid Ibrahim yang dipercayai disiarkan dalam Buletin Utama TV3 pada 3 Jun 2008. Setelah berbincang dengan AJK Persatuan Pekebun Kecil Tingkayu, saya buat aduan ini supaya polis mengambil tindakan di bawah Undang-Undang Jenayah terhadap Datuk Noor Rashid Ibrahim kerana menyalahguna kuasa, mengugut atau cuba mengganggu atau mempengaruhi pegawai/hakim mahkamah menjalankan tugas mereka mengadili kes pertikaian terbabit yang telah didaftarkan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau melalui nombor kes T (21) 4 Tahun 2008 yang belum selesai dibicarakan. Sekianlah laporan saya.”

Manakala seorang lagi pekebun kecil, Johnny Peter pula menyatakan dalam laporan polisnya KNK/RPT/1296/08 bahawa;

“Pada lebih kurang jam 4.00 petang, 30 Jun 2008, bertempat di Perpustakaan Labuan, saya terbaca beberapa kenyataan akhbar yang di buat oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Noor Rashid Ibrahim dan disiarkan oleh semua akhbar tempatan di Sabah pada 4 Jun 2008. Saya buat aduan ini supaya polis mengambil tindakan di bawah Undang-Undang Jenayah terhadap Datuk Noor Rashid Ibrahim kerana menyalahguna kuasa, mengugut atau cuba mengganggu atau mempengaruhi pegawai/hakim mahkamah menjalankan tugas mereka mengadili kes pertikaian terbabit yang telah didaftarkan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau melalui nombor kes T (21) 4 Tahun 2008 yang belum selesai dibicarakan. Sekianlah laporan saya.”

Sebagai tindak balas daripada rungutan umum dan NGO, Polis mendakwa mereka sedar terdapat beberapa kumpulan tertentu yang mengambil kesempatan dengan isu pertikaian tanah di Kampung Tingkayu untuk kepentingan peribadi dan politik.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim, Polis sentiasa memantau kegiatan kumpulan-kumpulan ini dan memberi amaran tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka didapati mencetuskan kemarahan dan menjadi batu api kepada 171 pekebun kecil yang terlibat dalam pertikaian tanah dengan Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad (SKPTTB).

“Saya menasihatkan kumpulan-kumpulan ini memberi nasihat perundangan kepada pekebun kecil yang terlibat dengan pertikaian tanah selaras dengan undang-undang (the rule of law),” kata Noor Rashid.

Polis akan mengambil tindakan ke atas mereka yang didapati melakukan kesalahan termasuk pegawai polis yang terlibat dan akan menggunakan undang-undang pencegahan sekiranya wujud penglibatan elemen-elemen samseng oleh mana-mana pihak. Noor Rashid berkata pertikaian antara pekebun kecil dan SKPTTB adalah satu masalah sivil.

 

 

SENJATA.... Lori putih berkenaan sarat dengan senjata termasuk senjata api sehingga berlaku tragedi berdarah pada 12 Februari 2009, namun polis gagal menahan lori tersebut ketika mereka datang selepas Soipon dibunuh dengan kejam. 

 

Menurut Noor Rashid, pertikaian bermula pada 17 November 2003 apabila Penolong Pemungut Hasil Tanah dalam satu inkuari telah memberi perintah kepada 171 pekebun kecil yang telah memasuki dan mengusahakan tanah kerajaan di kawasan SKPTTB seluas 3,311 ekar supaya keluar dan mengosongkan kawasan berkenaan.

Dalam inkuari kedua bertarikh 19 April 2006, Timbalan Pengarah Tanah dan Ukur juga mengeluarkan perintah yang sama kepada pekebun kecil itu.

Pada 18 Mac 2008, Mahkamah Tinggi Tawau telah mengesahkan keputusan yang dibuat oleh kedua-dua pihak.

“Berdasarkan fakta-fakta tersebut, polis mendapati tanah berkenaan adalah milik SKPTTB yang sah dan polis tidak akan campurtangan dengan keputusan yang telah dibuat oleh pihak yang berkuasa,” kata Noor Rashid.

Beliau berkata polis juga memberi perhatian ke atas injunksi mahkamah yang dipohon oleh pekebun-pekebun kecil Tingkayu yang dikeluarkan pada 1 Februari 2008.

Injunksi tersebut antara lain menegah SKPTTB daripada menghalang Yadum Bin Atihal dan 170 pekebun lain dari masuk dan keluar dari tanah berkenaan untuk mengambil hasil tanaman mereka, menghalang SKPTTB daripada meminta atau menerima milikan tanah itu yang kononnya diberi kepada SKPTTB di bawah geran CL 254361951 sehingga perbicaraan atau perintah lanjut oleh mahkamah.

Noor Rashid berkata sewajarnya injunksi tersebut diserahkan oleh pekebun kecil kepada SKPTTB yang mana sekiranya syarikat itu gagal mematuhi injunksi tersebut, Yadum dan 170 pekebun kecil lain melaporkan kepada mahkamah untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, Noor Rashid memberi jaminan bahawa Polis tidak akan campurtangan apabila mendapati pelaksanaan ketetapan oleh mahkamah mematuhi saluran yang betul, polis hanya akan bertindak sekiranya berlaku sesuatu kesalahan yang lazim ditangkap sebagai langkah memastikan ketenteraman awam terpelihara.

“Kami juga menjalankan siasatan ke atas 11 aduan salah laku pihak polis dalam pertikaian ini,” tambah Noor Rashid yang memaklumkan bahawa Ibu Pejabat Kontinjen Sabah telah menubuhkan satu Pasukan Petugas untuk menangani masalah termasuk tohmahan ke atas salah laku pegawai polis.

Setelah aduan demi aduan dilakukan, akhirnya Pejabat Ketua Polis Negara telah mengeluarkan arahan pertukaran ASP Tan Hiap Wah ke Pasukan Gerak Am (belum diketahui negeri mana), mengikut jejak langkah Dingka yang bertugas di Unit PGA di Cheras, Selangor selepas Tahun Baru China.

Namun Sabahkini.net dimaklumkan bahawa arahan pertukaran ASP Tan ditangguhkan atas arahan ‘pihak atasan’ kerana masih menjaga kepentingan pihak tertentu dan telah bertugas dengan cemerlang sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kunak.

Permuafakatan antara Suruhanjaya Koperasi Malaysia dengan SKPTTB menyebabkan isu ini berpanjangan kerana tanah berkenaan telah dijual secara sah kepada Merityield dan SKPTTB tidak lagi mempunyai sebarang hak di atas tanah berkenaan.

Namun ‘Skandal Tingkayu Gate’ ini dimanipulasi PDRM, SKPTTB, Kumpulan Lanun Darat yang diketuai Alimuddin Mohd Ajay dan beberapa puak yang berkepentingan menyebabkan penyalahgunaan kuasa polis sehingga SKPTB ditabalkan sebagai ‘Raja Rimba’ di Skim Pekebun Kecil Tingkayu yang memerah keringat, air mata dan darah pekebun kecil.

Sikap Pegawai Kanan Jabatan Tanah yang tidak jujur, pecah amanah dan rasuah menyebabkan tanah yang sepatutnya diluluskan kepada Pekebun Kecil dikeluarkan geran atas nama SKPTTB yang tidak pernah menanam walau sepohon pokok kelapa sawit di atas tanah tersebut namun Pengerusi SKPTTB telah melupuskan kepentingan mereka apabila menjual tanah tersebut kepada Merityield Sdn.Bhd tanpa kelulusan ahli.

Dalam satu perbualan dengan Wakil Sabahkini.net, Alimuddin Mohd Ajay mengakui telah menyumbang RM50,000 kepada Pegawai Kanan Polis di Kepayan (nama telah diserahkan kepada Ketua Polis Negara dan SPRM) dan sekiranya Soipon tidak terkorban dalam pergelutan berdarah, mungkin sehingga kini Alimuddin Mohd Ajay masih berkuasa di atas tanah berkenaan.

Antara bukti yang paling nyata ialah Kegagalan pihak atasan PDRM mengambil tindakan terhadap Ketua Polis Daerah Kunak, DSP Dingka Utoh, sehingga memaksa para pekebun kecil mengadakan tunjuk perasaan yang disiarkan di TV3; namun Alimuddin terus mengaut hasil selama satu tahun sebelum kematian Saipon.

Selepas aman selama 3 bulan, muncul seorang lelaki Cina bernama Alex Chia yang meneruskan tugas Alimuddin ‘merompak’ harta pekebun kecil, namun ASP Tan tidak mampu menghalang kerakusan ‘Mafia Cina’ ini di Tingkayu.

Tidak dapat dikenalpasti apakah ASP Tan mengambil alih tugas DSP Dingka kerana beliau tidak goyah walaupun banyak laporan polis telah dibuat terhadap beliau terutama para pekebun kecil yang merasa teraniaya ditangkap secara salah dan menyalahguna kuasa polis untuk menakutkan mereka.

Para pekebun Kecil beranggapan bahawa ASP Tan lebih berkuasa daripada Ketua Polis Daerah Kunak, namun tidak berani menangkap satu lagi kumpulan yang diketuai oleh Gabra Haji Shafie sehingga berlaku pergaduhan kecil yang hampir mencederakan beberapa orang daripada kedua belah pihak yang bertelagah (Alex Chia).

Gabra mengakui ada menyimpan rahsia besar ASP Tan namun enggan mendedahkan kerana belum tiba masanya berbuat demikian.

Dalam pada itu, sepuluh orang pekerja yang dilantik oleh Pengerusi Skim Pekebun Kecil Tingkayu, telah dipanggil untuk disoal siasat sebelum ditahan kerana melakukan ugutan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan berbunyi;

“Barang siapa, dengan tujuan hendak melakukan pemerasan, mendatangkan kepada mana-mana orang, atau mencuba mendatangkan kepada mana-mana orang ketakutan bahawa apa-apa bencana akan berlaku, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan-seksaan itu.”

Kesemua yang tertuduh dalam Kes LDA (83) 836/09 yang didengar Majistret Tuan Amir Shah Amir Hassan mengaku Tidak Bersalah terdiri daripada;

1. Mohammad Hassan Birikok

2. Amjan @ Dulkam Asik

3. Rahim Awang

4. Komally Ani

5. Mohd Nasir Ampah

6. Pardan Singh

7. Jumah @ Jumal Panut

8. Jeffrey Jinor

9. Kadir Salman

10. Mohammad Hashim Birikok

 

Oleh kerana sembilan orang daripada mereka, melainkan Mohamad Hassan Birikok tidak mampu membayar jaminan; maka mereka dihantar ke Penjara Tawau untuk menjalani Tahanan Reman sehingga 17 Februari 2010 apabila mereka akan dibicarakan pada 17 hingga 19 Februari 2010 di Mahkamah Majistret Lahad Datu.

Tidak cukup dengan tuduhan tersebut, Laurentius Edward, Ketua Pengawal yang dilantik Pengerusi Pekebun Kecil Tingkayu yang dikeluarkan waran tangkap kerana gagal hadir di Mahkamah Majistret Lahad Datu dan tiga lagi rakannya, Kadir Salman, Hasbi Abd Hawai dan Jemi Basari telah dituduh di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Senjata Berbahaya 1958 (ABKSLM) kerana polis menjumpai sebilah samurai di atas almari di dalam bilik penginapan mereka.

Manakala Kadir Salman turut didakwa di bawah Akta Senjata Api apabila dituduh memiliki dua laras bakakuk (senapang buatan sendiri), namun pengakuan tidak bersalah beliau membuatkan ada sesuatu yang tidak kena dengan pendakwaan yang dilakukan dan perlu diberi perhatian oleh Majistret Amir Shah Amir Hassan sebelum meneruskan perbicaraan.

Siasatan Sabahkini.net mendapati Bakakuk berkenaan telah dibeli oleh seorang lelaki Cina bernama ‘Mr T’ yang berasal daripada Pulau Pinang melalui seorang warganegara Indonesia berbangsa Bugis bernama ‘Wan’ daripada seorang pembuat Bakakuk di Kampung Ulu Segama, Lahad Datu.

Kadir dan seorang lagi rakannya, Jemie menjadi saksi ketika ‘Mr T’ membuat pesanan Bakakuk berkenaan dengan harga RM800 untuk membunuh peguam James Valentino Tanggar dan Lawrentius Edward. Iskandar dan seorang lagi lelaki tidak dikenali diarah menjalankan tugas membunuh.

Namun Kadir telah menemui James untuk membocorkan rahsia berkenaan setelah mendengar Wan memberitahu ‘Mr T’ tempat beliau menyorok Bakakuk di Gate B, Skim Pekebun Kecil Tingkayu kerana tidak ingin bersubahat melakukan jenayah meragut nyawa mereka yang tidak berdosa.

James telah meminta Kadir datang ke Kota Kinabalu untuk berjumpa Superintendan Rowel Marung bagi mendapatkan nasihat. Rowel turut menghubungi Ketua Polis Daerah Kunak memaklumkan hasrat Kadir untuk membuat laporan di Kunak nanti.

Kadir mengikut nasihat Rowel terus ke Balai Polis Kunak setelah kembali daripada Kota Kinabalu; namun amat malang kerana polis telah menahan beliau sebelum sempat membuat laporan polis setelah dua laras Bakakuk ditemui setelah didesak polis ke lokasi yang diceritakan Wan kepadanya.

Seorang Inspektor Polis telah memaksa Kadir mengakui Bakakuk berkenaan miliknya, namun setelah dihadapkan ke Mahkamah, Kadir mengaku ‘Tidak Bersalah’.

Siapakah dalang di sebalik peristiwa ini? Mungkinkah ASP Tan Hiap Wah boleh menjawab di kandang saksi? Kenapa Superintendan Rowel berdiam diri?

(NOTA: Zainuddin Hassan adalah Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Sabah)

Last Updated on Friday, 05 February 2010 18:06