Banner
KEKALKAN SEMANGAT PERPADUAN: JAMAWI PDF Print E-mail
Written by Admin   
Thursday, 31 December 2009 15:21

 

Oleh: MAIL MATHEW

PARA penduduk Kg Tilis, kira-kira 20 kilometer daripada Tenom, akhirnya gembira apabila Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar datang untuk merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-30 kewujudan perkampungan tersebut baru-baru ini.

Seramai 400 orang penduduk kampung tersebut telah siap sedia dengan berpakaian tradisi suku kaum Murut Taghol yang diketuai Ekou Mulih, 43, tetap sabar menunggu ketibaan Jamawi dan rombongannya sejak awal pagi lagi.

Jamawi seorang berketurunan Murut Taghol yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno pusat dan Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Persekutuan, sebaik sahaja melangkah turun dari keretanya disambut dengan pelbagai sambutan tradisional dengan meriah sekali.

Pelbagai bentuk sambutan disajikan  termasuk tarian keperwiraan suku Murut dengan tarian ‘ala ngajat dari suku Iban Sarawak’ sebagai melambangkan ketibaan seorang ‘kangkalawon’ (pemimpin ulung) mereka.

Selain tarian tradisi,  Jamawi turut dipelawa oleh ratusan masyarakat di situ untuk menari bersama-sama dengan mereka dengan sebuah tarian kegemaran penduduk di situ iaitu tarian ‘poco-poco’ sebuah tarian popular negara jiran Indonesia.

Jamawi ketika berucap di hadapan hadirin ketika itu, menggesa penduduk di situ agar terus mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang mereka kecapi selama ini, kerana kata beliau, hanya dengan suasana yang tenang dan harmoni pihak kerajaan berupaya merancang dan melaksanakan pembangunan yang lebih pesat di kawasan tersebut.

“Kita minta saudara sekalian agar terus memberikan sokongan padu dan kuat kepada kerajaan yang ada sekarang termasuklah sokongan tidak berbelah bahagi kepada wakil-wakil rakyat kita di sini,” tegas Jamawi sambil diberi tepukan kuat dari hadirin.

Selain itu, Jamawi turut menggesa mereka agar terus melipatgandakan  usaha mereka untuk mempelbagaikan tanaman pertanian secara komersial termasuklah kegiatan seniukiran yang pastinya akan menjanjikan pulangan yang lumayan untuk meningkatkan sosio ekonomi keluarga mereka.

Terdahulu, Pengerusi Penganjur Ekou Mulih yang juga seorang pendidik menjelaskan bahawa penduduk Kg Tilis yang telah menghuni perkampongan itu sejak 30 tahun lalu wajar menyampaikan ucapan terima kasih mereka kepada mantan Ketua Anak Negeri (KAN) Riyad Rikin bin Antipoh yang mengusahakan penghijrahan mereka ke kampung berkenaan daripada Kg Kabintaluan.

Menurut Ekou lagi, mereka terpaksa menyahut saranan dan idea mantan KAN Rikin kerana Kabintaluan yang sukar untuk dibangunkan disebabkan kawasan tersebut berada di kawasan Hutan Simpan, berbanding Kg Tilis yang kini pesat membangun dengan memiliki pelbagai kemudahan infrastruktur seperti bekalan elektrik, bekalan air bersih luar bandar, jalanraya dan juga sekolah.

Majlis tersebut berlarutan sehingga ke larut malam di mana pelbagai acara sampingan telah disediakan seperti sukaneka di waktu siang, manakala malamnya acara tarian dan sugandoi telah juga diadakan.

Rombongan Jamawi lebih kurang 20 orang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Bahagian dan juga Ketua Ketua Pemuda Umno cawangan.

Last Updated on Thursday, 31 December 2009 15:24