| PROJEK GAJAH PUTIH ATAU GAJAH DUDUK? |
|
|
|
| Written by Admin |
| Sunday, 08 March 2009 19:06 |
|
Share GAJAH....Azizul menunjukkan Mini Dewan di Taman Nilam. PENDUDUK Taman Nilam, Semporna menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pembinaan Mini Dewan Taman Nilam yang dianggarkan menelan belanja lebih RM300,000 yang disifatkan sebagai Projek Gajah Putih atau Gajah Duduk. Jurucakap mereka, Azizul Sanarul, memberitahu sabahkini.net bahawa Mini Dewan ini tidak pernah digunakan sejak dibina hampir lima tahun lalu. "Kita tidak pernah meminta Mini Dewan kerana ianya terletak di dalam kawasan tanah pemaju taman ini. Kita tidak tahu status Mini Dewan ini dan dibina untuk siapa? Kita tahu Majlis Daerah Semporna yang bina, tetapi amat meragukan," ujar Azizul yang gagal mendapat jawapan daripada Majlis Daerah Semporna. Azizul percaya, ada pihak yang telah menyalahgunakan peruntukan kerajaan membina Mini Dewan berkenaan sekadar untuk mendapatkan keuntungan segera sedangkan penduduk taman berkenaan tidak memerlukannya. ROSAK....Mini Dewan ini rosak teruk akibat Vandalisme. "Isu ini harus disiasat segera kerana ianya dibina tidak mengikut spesifikasi tetapi bayaran dibuat sepenuhnya," kata Azizul yang melihat Mini Dewan tersebut setiap hari sejak ianya dibina sehingga kini kerana berdekatan rumahnya. Azizul turut menggesa agar pembangunan yang hendak dilakukan di Semporna dirancang dengan betul bagi mengelakkan pembaziran wang awam. "Pendedahan ini hanya secebis daripada ratusan bangunan atau projek yang dibina tetapi tidak digunakan langsung. Semporna ini mewah dengan projek," akui Azizul yang agak kecewa kerana penduduk Semporna dilabelkan sebagai kaki projek. |
| Last Updated on Sunday, 08 March 2009 19:16 |

























