| HATI-HATI DENGAN ‘ULAT PASPORT’ |
|
|
|
| Written by Admin |
| Friday, 10 August 2012 01:17 |
|
Share
TAWAU : Jabatan Imigresen Sabah menasihati majikan dan pekerja asing di Sabah agar berhati-hati dengan 'Ulat Pasport' yang menawarkan perkhidmatan pembaharuan dokumen mereka.
Mendedahkan kegiatan itu kepada media di sini malam tadi, Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Mohammad Mentek berkata kegiatan yang didalangi rakyat tempatan dan asing tersebut memalsukan dokumen pekerja asing, kononnya telah diperbaharui.
“(Ada) Pekerja dan majikan mendakwa pas kerja mereka telah disambung (diperbaharui). Bagaimanapun ketika disemak di pejabat Jabatan Imigresen, dokumen berkenaan belum diterima,” katanya yang ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama tenaga kerja jabatan, di sini.
Mohammad berkata pihaknya telah mengenal pasti individu terlibat dan sedang menjejaki mereka.
Beliau juga meminta majikan dan pekerja merujuk kepada jabatan itu jika berasa sangsi terhadap sebarang dokumen yang dikeluarkan oleh agensi pekerjaan.
Mengenai agensi pekerja asing di Sabah, Mohammad berkata pada masa ini terdapat 53 agensi pekerjaan berdaftar namun daripada jumlah itu hanya 20 yang aktif.
Katanya setiap petugas agensi pekerja asing diberi kad khas yang dinamakan “A Kad” dan dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.
Mohammad juga mengingatkan majikan supaya tidak menggaji warga asing yang tidak memiliki dokumen peribadi sah dan pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap majikan yang melanggar peraturan itu.
“Setakat ini, seramai 15 majikan telah ditahan kerana menggaji pekerja asing tanpa sebarang dokumen. Ada di antara mereka telah dikenakan denda sehingga RM30,000. Kebanyakan majikan berkenaan adalah dalam sektor perkhidmatan seperti restoran,” katanya.
Sementara itu Mohammad berkata Jabatan Imigresen Sabah telah mendaftarkan sebanyak 161,370 pekerja asing sepanjang program 5P lalu. (Bernama)
|
| Last Updated on Friday, 10 August 2012 01:18 |
























