| PEMUDA UMNO TENOM LULUS EMPAT USUL |
|
|
|
| Written by Admin |
| Tuesday, 10 July 2012 09:18 |
|
Share
Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID
TENOM: Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom yang mengadakan mesyuarat perwakilannya baru-baru ini telah meluluskan empat usul untuk diberikan perhatian serta pertimbangan oleh kerajaan.
Usul pertama yang diluluskan semasa persidangan tersebut ialah meminta kerajaan mempertimbangkan untuk mendirikan kilang berasaskan hasil pertanian di daerah tersebut.
Ketuanya, Jamawi Jaafar berkata ia amat sesuai dengan faktor geografi daerah Tenom kerana majoriti penduduknya terlibat dalam industri berasaskan pertanian.
"Jika daerah Tenom sudah dikenali dengan kopi, maka sesuailah kilang kopi didirikan di daerah ini, begitu juga hasil pertanian yang lain setelah kajian dibuat bagi menentukan kesesuaian kilang berasaskan hasil pertanian yang boleh diwujudkan di daerah ini. Ia bukan sahaja dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di kawasan ini," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda Umno bahagian itu.
Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno dan Puteri Umno Tenom itu telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Mohd.Ali Rustam dan turut dihadiri oleh Ketua Umno Bahagian Tenom, Datuk Rubin Balang; Wakil Pergerakan Pemuda Umno Sabah Armizan Mohd Ali dan Ketua Pergerakan Puteri Umno Tenom Inahwaty Jaini.
Turut disentuh dalam usul mesyuarat tersebut ialah mewujudkan sebuah institusi pengajian tinggi di daerah Tenom kerana langkah ini turut membantu penduduk di pedalaman memajukan sektor pendidikan, iaitu alat boleh ubah sistem sosial yang berkesan.
"Kita faham ramai pelajar luar bandar khususnya di Pedalaman ini terlalu jauh untuk melanjutkan pengajian mereka di kawasan bandar. Justeru dengan adanya sebuah instisusi pengajian tinggi di daerah ini, mereka mempunyai pilihan terdekat untuk melanjutkan pengajian mereka," katanya.
Dalam pada itu, menurut Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, mesyuarat perwakilan pergerakan pemuda Umno Tenom juga turut menerima usul bagi meminta kerajaan memberi peluang kepada generasi muda untuk mendapatkan tanah sendiri.
Ini kerana katanya, generasi ketiga selepas zaman merdeka rata-rata tidak mempunyai tanah sebagai harta mereka sendiri.
Sehubungan itu beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan-cadangan itu demi kepentingan masyarakat di kawasan pedalaman khususnya daerah Tenom.
|
| Last Updated on Tuesday, 10 July 2012 09:19 |
























