| PERPADUAN TUNJANG KEKUATAN BN SILAM |
|
|
|
| Written by Admin |
| Sunday, 08 July 2012 08:13 |
|
Share
TERIMA....Ketua Bahagian PBS Lahad Datu, Mursid Rais menerima cek sumbangan daripada Umno Silam yang disampaikan oleh Nasrun.
Oleh : RIZAL ABDULLAH
LAHAD DATU : Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) yang juga Ketua Umno Bahagian Parlimen Silam, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur menyeru parti komponen Barisan Nasional (BN) khususnya di kawasan Silam saling melengkapi dan bersatu padu memastikan jentera BN kukuh menghadapi cabaran menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata perpaduan adalah tunjang utama dalam rumpun BN kerana ianya adalah titik persamaan yang perlu dipelihara dengan rapi.
“Semua parti dalam komponen BN harus saling hormat menghormati, tolong menolong dan sentiasa berhubung untuk berbincang dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh pihak masing-masing tanpa sebarang kompromi,” kata beliau semasa menerima kunjungan hormat daripada rombongan Ahli Jawatankuasa Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Lahad Datu di pejabat Umno Bahagian Silam, baru-baru ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri itu juga berkata parti PBS adalah antara parti yang penting dalam BN seperti parti-parti komponen yang lain, kerana telah memegang rekod yang sangat cemerlang.
“Perjumpaan bagi parti-parti BN Silam akan diadakan seperti sebelum ini dan ia akan diadakan selepas hari raya aidilfitri tahun ini. Maka saya berharap agar pertemuan tersebut akan menemukan semua dan dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara satu sama lain,” katanya.
Dalam majlis itu juga, beliau turut menyumbangkan RM10,000 daripada Umno Silam untuk kegunaan pejabat dan persiapan jentera PBS Lahad Datu.
Ketua Bahagian PBS Lahad Datu, Mursid Mohd Rais menyifatkan kunjungan hormat ini sebagai satu rahmat dan semangat bagi seluruh ahli PBS kawasan Lahad Datu, sekaligus dapat mengeratkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin di antara PBS dan Umno Silam.
“Saya juga ingin menyatakan bagi pihak kami akan menyokong sesiapa sahaja yang dicalonkan oleh pucuk kepimpinan BN di kawasan ini dalam PRU akan datang, dan saya juga ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemimpin kami (Nasrun) kerana sentiasa mengambil berat dan peka terhadap keperluan dan kebajikan kami,” katanya.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut, Setiausaha Bahagian PBS Lahad Datu, Jaffar Baladan; Setiausaha Kerja BN Silam, Sharifah Sarminah Sharif Saidi; Setiausaha BN Silam, Aljen Johnny dan Ketua Penerangan Umno Silam, Sharif Saidi Sharif Alawi.
|
| Last Updated on Sunday, 08 July 2012 08:48 |























