| MAS, AIRASIA KE ARAH KEMBARA DOMESTIK |
|
|
|
| Written by Admin |
| Saturday, 07 July 2012 11:54 |
|
Share
KOTA KINABALU : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar telah mencadangkan agar Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia memperkenalkan promosi istimewa untuk menarik pengembaraan domestik.
Menterinya, Datuk Masidi Manjun berkata promosi sedemikian akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk terus mengembara ke destinasi-destinasi lain dalam negara, sekali gus dapat merancakkan pertumbuhan industri pelancongan domestik.
"Saya maklum yang MAS telah menawarkan pakej istimewa untuk laluan antarabangsanya.
"Saya tidak lihat mengapa MAS, begitu juga AirAsia tidak boleh membuat sedemikian untuk laluan domestik dan pada masa yang sama mencapai jumlah dagangan yang diharap-harapkan," kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sabah 2012.
Masidi berkata promosi khas/istimewa untuk pengembaraan domestik oleh kedua-dua syarikat penerbangan boleh melonjakkan minat di kalangan pengembara.
"Ini terutamanya di kalangan pelancong antarabangsa, yang mungkin telah kehilangan minat untuk ke Sabah ekoran penggantungan beberapa laluan antarabangsa oleh MAS," tambah beliau. (Bernama)
|
| Last Updated on Saturday, 07 July 2012 11:55 |
























