| HAL EHWAL SEKOLAH CINA BAKAL DITUBUHKAN |
|
|
|
| Written by Admin |
| Saturday, 07 July 2012 11:36 |
|
Share
KOTA KINABALU : Sebuah Jawatankuasa Hal Ehwal Sekolah Cina akan ditubuhkan di Sabah bagi mewujudkan kesefahaman, sekali gus mengelak timbulnya isu yang boleh mengganggu serta menjejaskan keharmonian di sekolah Cina di negeri ini.
Ketika mengumumkan perkara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Datuk Dr Muhiddin Yusin berkata jawatankuasa yang dianggotai semua Pengerusi Zon Majlis Guru Besar sekolah jenis kebangsaan Cina itu bakal diuruseliakan oleh sektor pengurusan sekolah.
Beliau berkata jawatankuasa itu berfungsi sebagai saluran untuk membincangkan isu yang timbul akibat salah faham terhadap dasar kerajaan khususnya yang berkaitan peraturan sekolah.
"Jawatankuasa ini mungkin akan bermesyuarat dua atau tiga kali setahun untuk mendengar lebih dekat lagi suara dan idea yang timbul dari semasa ke semasa agar kita dapat sama-sama menangani isu yang mungkin timbul pada masa akan datang," katanya.
Muhiddin berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Jamuan Makan Malam Sambutan Hari Ibu Bapa dan Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Esei Bahasa Cina peringkat negeri di sini malam tadi. (Bernama)
|
| Last Updated on Saturday, 07 July 2012 11:36 |
























