Banner

“JANGAN GANGGU TAGAL KAMI” PDF Print E-mail
Written by Admin   
Saturday, 30 June 2012 13:22
Share
CEROBOH....Sopikit menunjukkan antara kesan aktiviti menggali batu dan pasir di kawasan Sungai Kogopon.

Oleh : RUZAINI ZULKIFLI

PAPAR: Pendedahan mengenai isu pencerobohan kawasan tagal Sungai Kampung Kogopon, di sini terus mendapat reaksi di kalangan penduduk yang meminta agar kawasan berkenaan tidak diganggu lagi.

Ketua Kampung Kogopon, Sopikit Lianjun, 52, berkata kedegilan pihak pemaju yang masih meneruskan aktiviti menggali batu dan pasir di sungai berkenaan menyebabkan mereka berasa terkilan.
Sehubungan itu, beliau yang mewakili suara penduduk Kampung Kogopon mahu aktiviti itu dihentikan bagi menjaga sistem tagal serta tidak merosakkan kawasan sekeliling.

“Apa yang menyedihkan semenjak isu ini dibongkar, aktiviti menggali masih diteruskan. Kawasan ini dahulunya amat terjaga dengan keindahan alam semulajadinya, namun kini ia telah dirosakkan,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo kelmarin.

Selain sistem tagal terjejas, Sopikit turut mendakwa aktiviti itu juga mengakibatkan hakisan tanah di sekeliling sungai selain aliran sungai kini dialihkan beberapa ratus meter berikutan proses tambakan batu.

“Aliran sungai telah berubah dan kami bimbang berlaku insiden buruk seperti hakisan tanah serta banjir jika ia dibiar berterusan,” katanya.

Menurutnya, tanda amaran yang tertera di kawasan itu yang menyatakan bahawa sesiapa melanggar peraturan tagal boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 tidak diendahkan. Sungai Papar ditagal sejak 2008 membabitkan enam kampung, termasuk Kogopon, Kundasang, Mandalipau, Bolotikon, Kaiduan dan Bisuang.

Mengulas tindakan sogit seperti diarahkan Jabatan Perikanan Sabah kepada penduduk, Sopikit menjelaskan mereka akan mengadakan mesyuarat tergempar dalam masa sehari dua ini.

“Kami akan mengumpulkan orang kampung bagi membincang perkara ini seperti diarahkan, dan barulah dirujuk kepada Mahkamah Anak Negeri,” katanya, sambil menjelaskan mengikut adat resam mereka, secara kebiasaan sogit yang dikenakan adalah seekor lembu. (UB)

blog comments powered by Disqus
Last Updated on Saturday, 30 June 2012 13:24