Banner

KAUM RUNGUS DIZALIMI SAFODA? PDF Print E-mail
Written by Admin   
Tuesday, 01 May 2012 11:37
Share

 

Oleh : ROZIE JUMAT


PENDUDUK di empat buah kampung Kanibongan, Pitas mendakwa berhak ke atas tanah yang telah diambil alih oleh Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA) dan mendakwa tanah tersebut adalah Tanah Adat mereka.

Masyarakat Dusun Rungus yang berasal dari Kampung Kampil, Kampung Mogitom, Kampung Rantau dan Kampung Narandang sepakat membentuk satu Jawatankuasa Tuntutan Hak Tanah Adat Anak Negeri (NCR) bagi menyelesaikan masalah yang telah berlarutan sejak bertahun-tahun.

Jawatankuasa itu ditubuhkan semata-mata untuk mengembalikan tanah yang kini diambil alih oleh Safoda kepada anak negeri yang lebih berhak.

Tanah NCR yang dituntut itu seluas 5,000 ekar tanah yang terletak kira-kira 7 kilometer ke pedalaman Kanibongan Pitas.

Ketua Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) N.58 Merotai, Thomas Mojuga Tukung yang merupakan anak jati kelahiran Pitas berkata, terdapat bukti yang menunjukkan berlakunya pembayaran cukai dibuat oleh moyang atau ibubapa penduduk yang menuntut hak tanah adat itu semasa era British North Borneo.

“Masih terdapat pemimpin atau penduduk yang memegang resit cukai tanah semasa zaman British North Borneo pada tahun 1961-1962, yang membuktikan mereka adalah dipihak yang benar,“ ujar Thomas yang hadir sama sempena pelancaran jawatankuasa tuntutan hak tanah adat tersebut.

Menurutnya, penerokaan tanah oleh nenek moyang mereka sejak dari 13 Mac 1961 iaitu ketika Malaysia belum lagi dibentuk (berdasarkan kepada resit pembayaran cukai ) iaitu zaman penjajahan koloni British North Borneo sehinggalah Safoda telah menceroboh masuk ke kawasan tersebut.

”Kita merayu kepada kerajaan negeri Sabah untuk mencari jalan penyelesaian bagi membantu penduduk di empat buah kampung ini berkenan dengan tuntutan hak tanah adat mereka kerana sudah pasti ada mekanisme terbaik untuk menanganinya,” ujar Thomas yang turun padang sehingga ke Pitas bagi mendengar rintihan penduduk di Kanibongan berkaitan dengan masalah tanah di kawasan itu yang telah lama berlarutan.

Ujarnya, penduduk di kawasan terbabit juga masih dilanda kemiskinan kerana tidak mempunyai tanah untuk membangunkan ekonomi selain kemudahan seperti jalan raya juga tidak diselenggara dengan baik oleh pihak yang berkenaan.

”Ketika tiba di kawasan ini, kita masih melihat kemunduran dan kedaifan penduduk kampung yang tidak mendapat perhatian dari pihak berkenan, mungkin kerana kedudukan mereka yang terpencil; tetapi itu bukanlah satu alasan kerana Perdana Menteri kita mahu semua rakyat menikmati pembangunan,” kata Thomas.

Jawatankuasa itu dilancarkan oleh Ketua Pesuruhjaya Ahli Kehormat Rela Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said yang bersedia berusaha membantu penduduk di kawasan itu untuk menyelesaikan masalah itu di peringkat atasan termasuk menemui Ketua Menteri untuk memberi penjelasan.

Pengerusi Penganjur yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Hak Tanah Anak Negeri, Majahap Matangon berterima kasih diatas keprihatinan yang diberikan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) dan tetamu kehormat mereka.

“Ini amat memalukan kerana tidak ada pihak yang tampil membantu kami. Kami amat berbesar hati dan berterima kasih kerana Jerry Ambuting dan Thomas Mojuga sudi memberi bantuan dan sokongan,” kata Majahap.

blog comments powered by Disqus
Last Updated on Tuesday, 01 May 2012 11:38